Sunday, January 01, 2012

Akemashite Omedeto Gozaimasu 2012

Hari ini bangun dengan azam baru, mulanya nak pergi jogging di tasik, lepas tu datang lagi usul dari anak-anak, dia kata pergi Taman Pertanian ajelah, naik basikal, sound interesting juga ummi kata... so ayah pun beli nasi kerabu kat Restoran Gemilang Seksyen 8... beli mineral water di 7 Eleven dan terus ke Taman Pertanian. Sampai sana lebih kurang jam 9.00 pagi. Parking dah hampir penuh.

Masuk Taman Pertanian, terus ke tempat basikal, no 9 dan entah berapa banyak basikal lagi, so kami decide makan dulu tak lag penat bawa makanan. Semasa menunggu kebetulan datang Nilam, bekas guard dari MSAS dia sudah jadi renjer kat Taman Pertanian, dia ambil no kereta dan beri kami pass masuk bawa kenderaan, Alhamdulillah puas kami ronda dalam tu selepas naik basikal.. best betul, mula tu rasa penat naik bukit, bila balik laju betul.... rasa anginnya sampai terangkat tudung.. rasa nak pergi lagi, sambil exercise... balik singgah lagi Seksyen 8, makan nasi pula dengan kepenatan. Sampai rumah 2.30 goro rehat sekejap terus pula pergi rumah Ngah makan-makan dan bincang berkaitan pertunangan Aiman dengan Nor Atikah Ahmad Zaki. Rombongan akan ke Auto City Penang pada 5 Februari 2012.

Pernikahan pada 15 Mei dan Majlis di Penang akan diadakan pada 17 Mei 2012. majlis Ngah akan diadakan pada 9 Jun 1012 di Dewan Sri Jugra, Banting. Tema pada hari pertunangan adalah biru, bonda sponser bagu cucu untuk bawa dulang.... tempah sendiri-sendiri. Lupa nak tanya, bapa-bapa pakai apa??? melayu ke biasa?... Nanti kena confirm semula.

Lepas Maghrib baru selesai perbincangan, kami pun balik dengan perut yang kenyang.. sampai rumah lapar semula... tapi sebab badan dah letih naik basikal, tidur sajelah ubatnya....

Saturday, December 31, 2011

hari Terakhir Tahun 2011

Hari ini sibuk dengan berkemas untuk pindah, rumah macam tongkang pecah, tak tahu nak mula kat mana... last ambil kotak mula pack baju, then bawa sikit-sikit kat rumah baru. Geramnya tukang tu lambat betul siapkan kerjanya, tile yang telah lama dibeli tidak juga dipasangnya, grill

Hari Terakhir Tahun 2011

Hari ini ummi ke pejabat sekejap nak settle beberapa kerja sebelum akhir tahun, terutamanya SKT, LNPT dan Kew 8 kakitangan untuk gaji baru SBPA. Semua kakitangan menerima SBPA, jadi kami kena sediakan gaji mulai Januari 2012.

Ayah, Haziq dan Athirah ikut ummi ke pejabat, siapkan kerja. Kat depan ofis macam ada acara, so ayah dan Haziq pergi tengok orang main futsal. Rupanya ada sambutan dari pagi hingga ke malam sempena tahun baru. Balik dari ofis, singgah Seksyen 3. Ayah dah angin sebab Jupri tak datang siapkan tile yang baru siap dipasang separuh.. entah bila dia nak pasang, penat dibuatnya. Kalau diikutkan hati nak buat sendiri tapi kemahiran tak ada pula.

Malam lepas Maghrib kami ke Dataran Kemerdekaan, ada ceramah Agama Ustaz Azhar bersama Zizan. Ok juga cuma tak larat berdiri dan duduk atas jalan raya, akhirnya kami masuk kereta dan balik tengok tv. Jam 12.00 dengar bunyi hanbi dari ICity... tengok dari rumah aje, tak larat dengan jalan sesak...

Wednesday, December 07, 2011

Report Card dan Bantuan Persekolahan RM100.00

Hari ini ummi dan ayah pergi lewat ke ofis sebab nak ambil report card Haziq di SAMTTAJ, Shah Alam.. Dia sibuk minta ayah pergi sebab semester lepas ayah ke Paris ummi, Ikram dan Athirah sahaja yang ambil... kali ini Alhamdulillah ayah tak ada hal yang penting so lepas breakfast kat restoran Azira kami pun pergi. Sampai 9.30 goro, masih ramai yang belum ambil.

Menunggu lebih kurang 10 minit, giliran kami sampai, Haziq dapat no. 1 dalam kelas 1 Taqwa dan 1 dalam semua tingkatan. Tersengih kegembiraan dia, cikgu pun terus beri duit bantuan RM 100.00, ayah pun tandatangan menerima. Balik sibuk dia minta ayah belikan 'PSP Go' ayah tak beri jawapan lagi.

12.00 goro ummi dan ayah balik ke ofis semula. Athirah dan Haziq duduk melepek kat rumah semula.

Saturday, November 12, 2011

Majlis Perkahwinan Anak Perempuan YAB MB Selangor

Hari ini ada jemputan rumah rasmi YAB MB... mulanya rasa malas juga sebab ayah beritahu kawan semasa kadet PTD dulu ada kahwinkan anak di FRIM, so Ummi kata lebih afdal pergi rumah Anuar sebab kami berdua memang kenal dia, tapi sayang bila semak semula kad jemputan rupanya hari ini jemputan di Trengganu, rumah di FRIM pada next week, mujur tak pergi lagi. Akhirnya kami decide pergi Dewan Megawati, Seksyen 7, rumah rasmi MB.

Kami sampai 2 goro jemputan masih ramai tapi tak lah penuh sangat senang juga cari tempat kosong, makan ala kadar, malas nak pergi ambil, kalau anak-anak ikut, merekalah yang rajin ambilkan makanan, ummi dan ayah akan duduk aje.. hari ini ayah ajer yang pergi ambil. Balik kami belikan mereka nasi briyani kambing di Azira, sedap katanya.

Petang kami ke Seksyen 3, tengok rumah yang sedang diubahsuai, Alhamdulillah dah nak siap... so tadi kami bersihkan dan ayah cat siling. Mulanya upah Kumar mengecat, katanya dia pandai, tapi kami memang tak puas hati.. jadi kami hentaikan sahaja dia, dan kami buat sendiri.. memang ayah minat nak buat sendiri.. so setiap hari kami buat sikit-sikit. Rasanya lepas Athirah SPM bolehlah kami pindah...

Hari ini Jupri betulkan handle tingkap dan pasang paip untuk mesin basuh.

Tuesday, November 08, 2011

Kabinet Dapur, wardrope dan grill

Hari inii ummi masih cuti sebab Chan Kitchen na pasang wardrope dan Razman pula nak pasang Grill. Ummi tunggu sekejap dan balik tengah hari ready untuk nak ambil budak-budak sekolah. Ummi pergi sekejap-sekejap sebab tak ada tempat nak duduk sebab masih berdebu... walaupun setiap hari kami sapu dan mop tapi masih berdebu juga, paling geram membersihkan bekas cat menitik yang ditinggalkan oleh Kumar dan gengnya. Sabar ajelah..

2 Wardrope hampir siap jam 8.30 malam. Kabinet dapur baru digantung separuh, akan disambung esok, begitu juga dengan grill. Kabinet ada masalah sedikit sebab mereka pasang terlalu tinggi, malam tu kami pergi pula jumpa May Foo di Chan kitchen, semak balik, dan dia maklumkan akan betulkan semula. Esok kena jumpa Chiam untuk bincang semula... Harap-harap tak ada masalah.

Sunday, August 07, 2011

Bonda...

Hari ini macam biasa, lepas sahur kemas rumah, basuh baju dan ready untuk ke kelas mengaji... tiba-tiba dapat sms dari Tatee, dia maklumkan emak tidak sihat sejak seminggu puasa. Bincang dengan ayah kami balik semua, tidak jadi ke kelas. Di kampung Ngah sekeluarga ada. Sampai kampung emak nampak macam sihat tapi lemah, mungkin puasa, tapi ada kala dia nampak khayal dan tidak boleh bercakap, check gula dalam darah 18. . Tinggi tu, tekanan pun nampak tinggi, emak dah tidak makan ubat sejak 2 bulan lepas, dia makan pemakanan yang dijual oleh Lim... nampak dia percaya betul dengan Lim tu, kami nasihatkan dia supaya makan juga ubat tapi dia tidak ikut, katanya dah jemu makan ubat, kita tidak kuasa nak berbalah dengan dia lagi , nanti kecil hati pula...

Tengahari masa sembahyang Zohor pun dia berdiri aje... boleh baca tapi tak boleh buat.. risau juga...

Petang bawa emak ke Bazar Ramadhan kat Banting, sedang berjalan pun dia boleh berhenti aje, tak tahu nak buat apa. Beli juadah ayam golek, kuih muih dan air, semua selera anak-anak. Bila berbuka semua ada, Long, Alang dan Acik ada berbuka sama, makanan macam kenduri. Selepas berbuka, keadaan emak nampak serius, tidak sedar makin kerap 20 minit sekali, akhirnya kami pujuk emak supaya ke DEMC Shah Alam, mulanya dia keberatan then setuju. Jam 10.00 malam kami semua ke Shah Alam..

Masa di DEMC, gula emak 22 dan tekanan darah 198, Dr. Rashidi kata kalau lambat berkemungkinan emak boleh diserang strok. Esok dr kata emak akan buat Ct Scan. Malam ni Ummi dan Ayah tidur di DEMC teman kat emak. Sahur kami balik beli makanan untuk Ikram, Athirah dan Haziq bersahur... Pagi esok Tatee akan jaga emak.

Wednesday, April 20, 2011

Muscle

Hari ini Ummi ke Bank dengan Ikram jalan kaki. Masa tu kaki ni elok ajer.. aleh-aleh masa solat zohor ummi rasa kaki sakit, tak kisah juga. Bila petang makin sakit, drive pun siksa betul... kuatkan juga lah semangat drive kerumah dalam hujan petang. Sampai rumah solat asar pun cam tu, sakit sangat. Ikram dan Haziq sibuk meminpin, kelakar betul, Haziq sibuk sibuk cari tongkat, tapi tak jumpa... Geli hati dibuatnya.

Bila ayah balik ayah ajak pula ummi ke Seksyen 3, tengok rumah dan bayar duit kat Jupri, kontraktor yang baiki rumah kami tu.. Rumah tu dah nak siap tinggal touch-up bilik air. Malam ummi naik juga ke bilik tidur dengan iringan askar-askar ummi... masa tu dah sakit sangat, nak mengiring pun dah tak boleh... tidur dalam air-cond pun tak rasa, berpeluh belakang.

Friday, April 15, 2011

Puspanita

Hari ini ada pagi lagi ummi pergi Dewan Jubli Perak, SUK menghadiri Mesyuarat Agong Puspanita..... Oleh kerana ummi datang awal dapatlah tempat parking yang dekat dengan Dewan tu. Lepas pendaftaran ummi pergi minum pagi.. ummi sorang ajer. Su, Paizah, Ain dan Ain Shafeza bertugas... so ummi pun memang tak kisah. Minum dengan kawan dari Jabatan Goelogi. Lepas masuk dewan cerita... dengar koir MBSA, then Y.B Dato' SS Dato' Haji Khusrin pun rasmikan... ceramah kesihanatan dan ummi keluar buat pemeriksaan kesihatan. Obes... hiii geram betul bila nak kurus ni.... Alhamdulillah glukos ok. Balik ofis, buat kerja... Hari ini relax sikit sebab Ikram ambil adik-adiknya.

Friday, March 11, 2011

Jishin...

Petang tadi ummi dikejutkan dengan berita jishin berlaku di Jepun... ngeri tengok kat TV. Ummi teringat kawan-kawan mesti panik masa tu... tsunami yang melanda begitu terasa.. sekelip masa semua bersih.. kapal naik kedarat... Masa kami kat Jepun pernah berlaku jishin besar yang lain, 17 januari 1995, harilahir Athirah, kami dikejutkan dengan gempa bumi di Kobe... dan tahun 2004 berlaku pula di Niigata. Mujur semua kenalan selamat.

Masa kami tinggal di Kobe, dapatlah kami melihat semula peninggalan gempa bumi yang berlaku semasa winter, tak dapat dibayangkan semasa kedinginan pagi mereka dikejutkan dengan gegaran kuat, jOota (jiran depan rumah) kat Kobe cerita, kipas jatuh sebelah kepalanya, Daniel cerita komputer pun jatuh dekat kepala juga.. semua dekat kepala.. Alhamdulillah Allah maha mengetahui. mereka masih hidup hingga kini dan dapat bercerita bagaimana dia menggingatkan salji yang turun teta[i rupanya adalah debu kebakaran berterbangan diudara..

Kisah di sekitar masjid Kobe pula... Alhamdulillah, masjid Kobe terselamat dicelah keruntuhan bangunan, betapa besar Maha Agung Allah, menunjukkan bukti kebesarannya, tidak runtuh masjid.... hingga kini masjid tersebut masih digunakan untuk sembahyang waktu, sembahyang Jumaat dan kegiatan agama yang lain. Masa dulu imamnya ialah Ustaz Mohsin dari Egip.

Catatan akan disambung lagi....

Tuesday, February 01, 2011

Hari Pendaftaran Haziq

Hari ini adalah hari pendaftaran untuk Sekolah Menengah Agama Tinggi Tengku Ampuan Jemaah, Shah Alam. Kalau ikut surat jam 08.00 pagi. Kebetulan Athirah bertugas untuk hari pendaftaran so awal-awal lagi kami dah siap-siap untuk pergi maklumlah tak mahu terlewat. Athirah kami hantar dulu, jam 7.00 dia dah kena ready.

Jam 8.00 pagi kami pun sampai, semak nama Haziq masuk kelas 1 Taqwa. Amin masuk 1 ikhlas, kebetulan pula Lokman sekelas dengan Haziq. Adalah 3 orang calon dari Sekolah Sri Pintar. Kebanyakan mereka ni dari sekolah kerajaan dan KAFA. Ketiga-tiga tak tinggal di asrama. Haziqq nampak relax aje sebab dia tahu dia ada kakak. Seminggu ni kena orientasi. Adalah taklimat sikit, bayar duit koperasi dan bayaran yuran. Kebetulan ayah tak prepare bawa duit yuran, mujur ummi ni ada sikit duit sorok. Kena bayar RM 307.00. Pecah rahsia ummi ada duit sorok. Sekolah maklumkan masuk jam 7.20 pagi dan balik jam 2.50 petang selepas solat Zohor. Risau jugalah ummi macam mana nak ambil waktu tu.

Program ni habis jam 12.00 then makan kat luar.

Esok pergi sekolah macam biasa

Friday, December 03, 2010

Panggilan Telefon......

Hari ini Ummi keluar awal ke pejabat, kerana ada Mesyuarat JK Pengurusan Sumber Manusia dan Permodenan Organisasi yang akan dipengerusikan oleh Dato' Haji Aidid Ghazali. Mesyuarat mula jam 8.30 pagi... Jam 7.45 goro Dato' dah sampai, Ummi dan Encik Adnan brief dulu perkara yang akan dibincang, dia tanya pasal kehadiran, mujur semalam ummi dah minta Fahidah call semua AJK untuk make sure diaorang datang cepat... tapi ada juga yang lambat... kecut perut kami bila Dato' tanya... yang pasti tak dapat datang adalah wakil dari JMM dan Jabatan Warisan... adui tak senang betul.

8.45 goro Encik Zammidi PSM SUK dan Encik Amirudin SPN datang senang hati mesyuarat pun dimulakan. Dato; kata, dia puas hati dengan mesyuarat pagi ni... Alhamdulillah.

Habis meeting, ummi tengok banyak miss call... ada yang tahu dari siapa. tapi ummi cuba call Syarifah Norzehan. dia maklumkan Sekolah Sri Pintar ada telefon, Haziq, Amin dan Lokman dapat surat dari JAIS, dapat sekolah menengah kat Sekolah Menengah Agama Tinggi Tengku Ampuan Jemaah, Shah Alam... SAMTTAJ. Alhamdullilah. Balasan surat tidak lewat dari 8 Disember 2010.

11.00 malam goro maklumkan kat Haziq dia dapat sekolah tu.. then dia kata ok tapi dia nak buat tahfiz juga... Ummi dah dapat call Ustaz Yunos dia dah setuju... InsyaAllah Haziq akan dapat Al Hafiz juga nanti...

Sunday, November 28, 2010

Kem Tahfiz dan Motivasi Insan Cemerlang 2010 (28 Nov hingga 12 Dis)

Hari ini lepas Solat Suboh semua sibuk siapkan mana yang patut untuk persediaan Haziq mengikuti Kem Tahfiz dan Motivasi Insan Cemerlang 2010 di Kem Rimba Ria Suara Hutan, Sungai Congkak, 42300 Hulu Langat, Selangor anjuran Miftahul Uloom Strive. Banyak barang yang kena bawa... kami tak bawa semua, pandai-pandailah Haziq basuh.

Jam 7.30 lebih kurang kami pun memulakan perjalanan, ayah guna jalan biasa sebab masa masih panjang 9.30 pendaftaran... Breakfast pagi ni kat Hulu Langat makan nasi lemak kukus dengan ayam madu dengan air suam. Nampak berselera Haziq pagi ni... lepas tu kami menyambung perjalanan ke Sungai Congkak.. jalam kampung

Sampai Sg Congkak call Ustaz Rahim sebab tak ada signage ketempat tu.. dapat maklumat terus jumpa. Alhamdulilah belum ramai lagi senang parking kereta. Buat bayaran dll Haziq dah mula nak balik tak nak join pulak kami buat tak tahu ajer.. macam-macam pula, Alhamdulillah lepas tu dia ok.

Masa taklimat meleleh aje airmatanya... tak bagi kami balik, keluar dewan menangis lagi... puas juga memujuknya, dibawanya nasi keluar dewan. Mujur dapat sekatil dengan Ahmad Farhan, sepupu Amin, Farhan ni nampak berani. Haziq dan Amin lebihkurang lah.. semoga semangatnya semakin kuat untuk menjadi tahfiz.

Malam kami menunggu juga telefon dari dia, busy agaknya, dah jam 11.15 malam dia call Ikram beritahu telefon kena beri kat fasilitator.. kami kata ok, nanti bila nak telefon ambillah. Bila Haziq tak ada kat rumah, abang dan kakak sibuk kata sunyi dan tak mahu buat apa-apa, semua nak tunggu Haziq. Ikran siap order Cream Puff nak bawakan Haziq hari Ahad. Bertuah Haziq semoga dia menjadi anak yang soleh. Ummi doakan semua anak-anak ummi jadi anak yang soleh dan solehah. Ameen.

Thursday, July 29, 2010

Wednesday, June 23, 2010

Choc


Tuesday, June 22, 2010

Flying shoes....

Hari ini keluar terlewat sedikit.... ummi bawa kasut wedges scholl dan sebelah lagi bawa beg buku yang nak dipulangkan, masa nak buka kereta ummi letak dulu kasut kat cermin depan, then masukkan semua yang ditangan dan strat kereta, Haziq pula bawa beg dia dan ambil pula baju teakwondo sebab petang ini ada latihan... ummi tengok jam dah pukul 7.40 pagi macam giri-giri ni.. so ummi minta Ikram hantar Haziq, ummi boleh terus pergi office, co Haziq keluar kereta ambil barangan dia dan kunci pintu.

Ummi pun keluarkan masa tu terpandang kasut tapi ntah kenapa tak fikir pun nak ambil... lepas salam dengan Haziq dan Ikram ummi terus keluar... dah tak terpandang kasut tu... selekoh ketiga dari rumah baru ummi terpandang kasut.. masa tu kasut tu dah nak terbang sebab ummi dah mula keluar kawasan taman, nak speed lah kononnya...

Ummi pandang sebelah terbang, lepas tu terbang satu lagi... ummi senyum sendiri, mujur kereta belakang tak ada, ummi berhentikan kereta ketepi dan ambil kedua-dua kasut... mujur kereta sebelum kerete Ikram pandu tak langgar... selamat kasut ummi. Ikram dan Haziq ketawakan ummi, ummi senyum ajer..

Tuesday, June 15, 2010

KPSL hari kedua dan Cermin sisi Wira pecah...

Hari ini exam lagi... Perlembagaan dan Undang-Undang Umum, Arahan Keselamatan dan Panduan Pejabat. Soalan nampak ok. InsyaAllah. Kali ini siap semua. Macam biasa Ayah hantar ke office dan dari office ummi naik kereta jabatan, Zahari hantar. Sampai ke UNITEN lebih kurang kam 8.30 pagi... baca sikit2 dan semak mana yang perlu naik tangga lagi.... berpeluh naik ke Aras 6.

Ummi duduk ditempat semalam, malas nak kedepan sebab dewan tu besar.

Jam 12.30 tengah hari, exam dah habis, Zahari pun dah tunggu. balik rumah terus... Jam 1.30 lebih kurang sampai rumah, todue sekejap then study balik, keluar kejap beli buku Pekeliling Kemajuan Perkhidmatan Awam (PKPA) untuk exam esoknya...

Petang keluar nak pergi Pasar Malam, terkejut.. tengok cermin sisi kereta Wira retak seribu.. tak jadi keluar. Malam ayah balik pergi "Kedai Sayang Ku" beli ribbon warna hijau untuk ikat kat kotak coklat.. ada order 50 kotak... esok mereka nak ambil....

Hopefully tak ada masalah untuk esok.

Monday, June 14, 2010

Peperiksaan Kenaikan Pangkat Secara Lantikan (KPSL) N41

Hari ini ummi pergi Exam KPSL, saje-saje ambil sebab nak tambah sijil.... KPSL dikhaskan kepada kakitangan yang tidak mempunyai ijazah menikmati kenaikan pangkat secara lantikan. Ada orang SPA kata, selalunya sesiapa yang lulus KPSL akan diutamakan dari yang mempunyai ijazah.. so ummi pun ambillah..

Hari ini paper 2001A, Perintah Am, Arahan Perbendaharaan dan Tatacara Pengurusan Stor.. ummi tak berapa study, jadi terkial-kial juga menjawabnya... open book tapi ada yang ummi tak jumpa jawapan. Berserah aje nampaknya, dapat siapkan 4 soalan ajer dari 5 kena jawab. Nak kira stk pun ummi tak pandai, dapat formula, ummi tak sempat nak siapkan.

Sepanjang exam, Zahari pemandu kereta pejabat hantar ummi ke UNITEN, Bangi. Exam kat Dewan Peperiksaan Aras 6, Perpustakaan UNITEN. Setaiap hari ummi exersice naik tangga sebab ramai sangat kat lif.. malas nak tunggu... nak cepat naik tangga. Kat bilik tu ummi ambil tempat duduk kat belakang tak penat nak kedepan lagi.. penuh dewan peperiksaan tu, satu Malaysia di buat di Bangi. Berkenalan dengan Norbaini, IPK Selangor dan Niza dari JPJ. Exam mula jam 9.30 hingga 12.30 tengah hari. Semoga Ummi lulus.

Wednesday, May 12, 2010

Minggu Exam untuk Ikram dan Athirah....

2 minggu ini ummi dan ayah keluar berempat sahaja, Ikram asyik ke fakulti untuk study dengan kawan-kawan bagi persediaan Final Exam mulai 10 hingg 16 Mei 2010. Sebenarnya Athirah pun ada exam juga tapi dia masih mampu ikut kami sebab exam akhir semester sahaja.

Hari Isnin Ikram kata susah, petang pun susah, Selasa pun kata macam tu.. Ummi kata "dah exam memanglah susah" Kami hanya mampu mendoakan mereka. Kalau dulu katanya nak dapat dean's list, sekarang dah lulus pun dah Alhamdullillah.

Minggu ni ayah pun sibuk juga bersama anak-anak, ayah balik malam setiap malam, Isnin, makan malam bersama KPPA penutup Kursus JUSA. Ayah kata tak ada best student kali ini.

Hari Rabu 12 Mei Athirah pula start exam, Bahasa Arab Azhar... katanya ada peningkatan tapi nak score mungkin tak boleh, sebab tak cukup perbendaharaan kata.. tak pe lah kami akan sentiasa mendoakan mereka.

Minggu depan Haziq pula start exam.

Saturday, May 01, 2010

Cuti Hari Pekerja dan Majlis Perkahwinan Samad & Azura

Minggu ini sibuk sikit, buatkan hantaran Azlan, tema warna putih dan hijau... Ummi buat dalam dulang ajer... tujuh pahar semuanya. Hari ini siap semuanya. Lepas pergi majlis perkahwinan Samad dan Azura kedua-duanya dari INTAN kami pergi beli baju ayah sebab baru perasan baju melayu ayah tak sama dengan baju lace ummi.. mujur dapat beli yang hampir kat kedai BOSS.

Selesai membeli baju kami ke Keramat tengok apa yang perlu... kena pulak buat sireh junjung.. pergi je ke Ampang beli pinang, gambir dan kapor ready-made, buat simple sebab dah last minute mujur ada Kak Ani, so dia buat ummi tolong -tolong ajer...

Jam 12.00 malam baru selesai dan kami pun balik... malang sedikit kat tol Batu Tiga, kereta tunda langgar dari belakang.. berhenti tepi jalan maklum kan polis perunda then pergi Balai Bolis Seksyen 11, Cawangan Trafik nak buat aduan.. polis tu suruh datang siang sebab dia kata sistem off line... sedih kena datang semula...